Pages

Thursday 21 July 2011

TRANSFORMASI PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL


Ahmad Tajudin Jab (kanan) menyatakan sesuatu kepada pelajar SMK Rahmat pada sesi lawatan ke bilik darjah selepas merasmikan Minggu Teknik dan Vokasional di Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.


TRANSFORMASI dalam pendidikan teknik dan vokasional perlu dilakukan selari untuk melahirkan tenaga mahir dan separuh mahir menjelang 2015.
Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV), Kementerian Pelajaran, Ahmad Tajudin Jab berkata, pelajar perlu mempunyai kemahiran dan menjadikannya sebagai satu peluang kerjaya bergelar usahawan.
Menurutnya, pelajar yang mengambil mata pelajaran vokasional (MPV) tidak perlu merasa rendah diri kerana peluang mereka untuk menjana pendapatan begitu terbuka luas.
"Bidang pendidikan teknik dan vokasional di negara kita hanya 10 peratus berbanding negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Singapura yang mempunyai antara 40 hingga 60 peratus daripada pelajarnya menguasai kemahiran vokasional," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Teknik dan Vokasional bertemakan Teknik dan Vokasional - 1 Trasformasi Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.
Turut hadir Penolong Ketua Pengarah Pembangunan BPTV, Wan Aziz Megat Zainun, Penolong Ketua Pengarah Pengurusan Akademik, BPTV, Norrohani Othman, Ketua Unit Teknik dan Vokasional Jabatan Pelajaran Melaka, Karim Tumin dan Pegawai Pelajaran Daerah Alor Gajah, Kasim Mohamad.
Pada majlis tersebut Ahmad Tajudin turut melawat bengkel katering dan penyajian, bengkel landskap dan bengkel kemahiran hidup.
Terdahulu Pengetua SMK Rahmat, Zulkapli Othman dalam ucapannya berkata, beliau melahirkan rasa bangga dan bersyukur dengan kesudian Ahmad Tajuddin merasmikan program tersebut.
"Walaupun berdepan kekangan masa namun masih dapat meluangkan masa untuk hadir serta turun padang melihat sendiri keperluan sekolah di bawah bidang teknik dan vokasional," ujarnya.

No comments:

Post a Comment